BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Masa itu ibarat pedang

Thursday, May 26, 2011

Keikhlasan Ketika Menuntut Ilmu

Assalamualaikum w.b.t


Setelah sekian lama membiarkan blog ini bersawang,kini aku kembali dengan 1 topik. Mungkin ada yang pernah mendengarnya. Topik yang amat sinonim dengan generasi muda sekarang amnya dan para pelajar khususnya. Pernah tak terlintas di hati anda,"buat apa aku study penat-penat?","stressnya study","aku belajar untuk mendapatkan diploma/ijazah/untuk mendapatkan pekerjaan yang hebat. duduk dalam pejabat, goyang kaki, dan yang penting,duit masuk" dan apa-apa lagi la. Dulu, aku pun pernah terfikir macam tu. Sekarang? Nanti aku explain.

Tidak dinafikan bahawa generasi muda masa kini adalah dari golongan-golongan terpelajar. Ada yang belajar di sekolah-sekolah terpilih seperti SBP,MRSM,dan Sekolah Kawalan Negeri. Ada yang mengambil STPM dan Matrikulasi selepas SPM. Ada yang menyambung pelajaran di universiti-universiti terkemuka dunia seperti University of Oxford, University of Brisbane, dan banyak lagi. Ada yang lebih berminat dengan negara sendiri apabila memilih UiTM, UTM, UPM, UKM,Politeknik dan sebagainya. Tidak terlepas juga ada antara kita yang menyambung pelajaran di kolej dan universiti swasta. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa generasi muda zaman ini sinonim dengan status PELAJAR. Ini merupakan satu pencapaian hebat generasi muda yang akan menjadi tunjang pembangunan negara pada masa hadapan atau lebih tepat lagi, aset negara pada masa hadapan.

Akan tetapi, adakah semua golongan-golongan tersebut terutamanya yang beragama Islam benar-benar ikhlas menuntut ilmu? Berapa peratuskah yang memahami konsep menuntut ilmu? Tidak keterlaluan jika aku nyatakan bahawa kebanyakan dari kita sekadar menuntut ilmu untuk menggenggam segulung ijazah, berdiri bangga dengan pakaian konvokesyen, dan masa hadapannya untuk dirinya sendiri. Aku akui, aku pun pernah terfikir sebegini rupa. Tetapi, adakah aku teruskan pemikiran sebegini? Tidak sama sekali. Hidup sebagai seorang pelajar universiti haruslah mempunyai minat yang mendalam untuk meneroka suatu perkara untuk menjadikan diri kita lebih baik dari semalam.

Aku pernah merasa hidup di sekolah rendah yang hebat, SBP yang ternama, dan sedang melanjutkan pelajaran di universiti yang ulung,UiTM. Bersyukur kepada Allah kerana memberi peluang aku merasa semua ini. Aku juga seperti pelajar-pelajar yang lain, pernah berasa tertekan dengan pelajaran, rasa hidup tidak enjoy, kehidupanku banyak dihabiskan untuk menelaah buku-buku dan banyak lagi. Aku juga pernah berasa bangga dan aku juga pernah kecewa. Inilah asam garam dalam kehidupan. Liku-liku hidup ke arah menjadi seorang manusia.  Tapi, pernahkah anak muda di luar sana bertindak seperti aku. Pernahkah kamu muhasabah diri apa tujuan sebenar anda menuntut ilmu?

Aku ingin kupas tentang isu ini. Aku memulakan alam persekolahan di SK Seberang Jaya 2, Bandar Seberang Jaya,Pulau Pinang. Aku bukanlah pelajar yang bijak dalam sekolah. Aku lebih suka digelar underdog. Aku aktif seperti murid-murid yang lain, dan sama nakalnya dengan mereka. Mungkin rezeki aku lebih sedikit apabila aku berjaya menempatkan diriku dalam kelas pertama bermula dari darjah 4. Kurangnya keyakinan diri menyebabkan aku antara pelajar yang sedikit tercicir dalam kelas tersebut. Ketika di darjah 6, aku mula menempatkan diri dalam 10 pelajar terbaik dalam kelas pertama walaupun keputusan aku sekadar cukup-cukup makan. Ketika keputusan UPSR diumumkan, aku diisytihar sebagai salah seorang penerima keputusan cemerlang iaitu 5A. Tiada ibu bapa atau ahli keluargaku di sisi kerana mereka tidak meletak sebarang harapan untukku. Tetapi tiada nada terkilan kerana yang lebih penting, aku dapat apa yang kebanyakan orang inginkan.

Selepas itu, aku ditawarkan ke salah sebuah sekolah terbaik di Malaysia, SM Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sg Petani, Kedah. Seperti dahulu, aku lebih suka digelar underdog. Ketika keputusan PMR diumumkan, riak muka penuh kekecewaan jelas terpancar. Aku sekadar memperoleh 7A1B dengan Bahasa Inggeris penghalang kejayaanku. Bermula dari situ, aku mula menceburkan diri dalam bidang ko-kurikulum sekurang-kurangnya menjadi back up untuk masa depanku. Ternyata percubaan aku berjaya apabila aku mula mengisi tempat sebagai orang utama dalam skuad sukan, mengambil bahagian dalam kursus peringkat kebangsaan dan mengukuhkan cengkaman dengan beberapa jawatan besar di sekolah. Ramai yang terkejut dengan kebangkitan drastik dalam diriku. Seorang pelajar underdog, boleh memegang beberapa jawatan kepimpinan. Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Eksperimen aku menemui kegagalan apabila aku hanya mampu memperoleh 4A dalam SPM. Dan lebih malang aku tidak menjumpai lagi apa yang aku inginkan.

Aku meneruskan perjuangan di Kolej Matrikulasi Kedah. Jadual kelas yang padat, ditambah dengan aktiviti-aktiviti tambahan menyebabkan diri aku bertambah penat dan tertekan. Aku tidak mampu survive dalam perjuangan kali ini dan sekali lagi aku kecundang. So, aku mengambil langkah selamat dengan berehat selama hampir 6 bulan di rumah. Sepanjang waktu itu, jiwaku meronta-ronta untuk bebas dari kepompong pelajaran kerana terlalu tertekan dan ingin terus bekerja. Bagi aku (pada waktu itu), aku ingin bebas seperti remaja-remaja lain. Tapi berkat kesabaran dan pencarianku selama ini, Alhamdulillah, aku mempunyai formula yang lebih mudah untuk berjaya.  Aku percaya, kegagalan aku sebelum ini hanya disebabkan niat aku yang salah. Bertitik tolak dari situ, aku melakukan perubahan dalam niatku. Aku belajar semata-mata untuk mendapat redha Allah. Sebelum aku melangkah keluar dari bilik untuk ke kelas, aku akan berniat semula agar laluan aku dipermudahkan. Alhamdulillah. Sepanjang menjalani diploma semester 1, aku mampu tersenyum ketika belajar, suatu perkara yang amat aku inginkan selama ini. Tiada lagi stress dalam hidupku untuk menuntut ilmu. Walaupun aku hanya mencapai 3.00 pada semester 1, aku tetap bersyukur kerana aku telah dapat apa yang aku inginkan iaitu keseronokan dalam menuntut ilmu. Cita-cita aku hanya 1, mampu membuktikan bahawa anak Melayu yang beragama Islam ini mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan cendekiawan-cendekiawan Barat yang amat dihormati selama ini.

Aku hanya mampu melihat pelajar-pelajar lain menunjukkan mimik muka yang tertekan ketika belajar. Bukan aku tidak mahu membantu, tapi aku harap mereka belajar untuk membuat perubahan seperti diriku. Aku hanyalah pelajar underdog. Siapalah aku untuk memberi nasihat kepada mereka kerana ada insan yang lebih layak untuk memberi nasihat dan ada antara mereka yang lebih hebat dari aku. Aku amat berharap, mereka mampu mencari jalan penyelesaian sendiri kerana status seorang PELAJAR amat sinonim dengan membuat kajian dan mencari maklumat, bukan hanya duduk menggoyang kaki. Ayuh generasi muda yang bergelar pelajar. Bangkit dan bergeraklah untuk memajukan dirimu. Aku ingin melihat umat Islam mampu bersaing dan berkuasa di dunia ini seperti yang dilakukan anak muda, Sultan Muhammad al-Fateh yang membebaskan Constantinople, Salahuddin al-Ayyubi yang membebaskan Palestin, dan ramai lagi.

Tidak lengkap sekiranya aku tidak berkongsi sedikit tips dalam post kali ini. Beruntung kepada siapa yang gemar meneroka.


1. Pada malam sebelum kelas keesokannya, beri bayangan tentang kelas yang AKAN berjalan 
    pada keesokan harinya. Contohnya, memberi gambaran apa yang akan diajar dan apa yang 
    perlu anda belajar. Jangan sesekali membayangkan perkara yang buruk kerana ia bakal
    menjejaskan mood anda.
2. Pada malam itu juga, mulalah memasang niat untuk belajar kerana Allah. Insya-Allah, 
     anda akan mendapat ilham dari tidur anda dan mendapat tidur yang berkualiti.
3. Apabila membuka mata dari tidur, bacalah doa bangun tidur. Bagi yang tidak tahu,
    cukuplah sekadar mengucapkan Alhamdulillah. Selepas itu, senyum. Macam gila kan??
    Kajian mendapati, seseorang yang senyum di awal pagi akan melancarkan moodnya 
    sepanjang hari itu. Kemudian, teruskan dengan rutin harian.
4. Ambil sarapan sekurang-kurangnya sekeping roti dan secawan air kosong. Otak anda 
    memerlukan tenaga untuk bekerja.
5. Membuat ulangkaji atau tutorial sebaik sahaja habis kelas. Insya-Allah, perkara yang 
    anda belajar akan terus "melekat".
6. Dapatkan rehat yang secukupnya dan kurangkan kuantiti dalam pengambilan makanan.
7. Tenangkan fikiran dengan berbual bersama rakan (bersosial). Elakkan dari berbual 
    tentang pelajaran supaya fikiran anda tidak terbeban.
8. Cukupkan solat lima waktu. Mesti semua terfikir kenapa aku meletakkannya di akhir tips.
    Aku nak menegaskan di sini, semua tips tu takkan berhasil kalau anda tidak cukup 
    solat lima waktu. Sengaja aku biarkan anda berilusi terlebih dahulu.

Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk juga datang dari-Nya tapi diletakkan atas bahu saya supaya kita semua sedar bahawa Allah yang Maha Berkuasa atas sesuatu.

Sekian untuk kali ini. Bertemu di post akan datang.

0 comments: